Most Popular

Sunday, February 13, 2011

Tema Festival Nasyid 2011

" Akidah Kukuh Sahsiah Terpuji"

Tema Festival Nasyid sekolah-sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia bagi tahun 2011.
Semua jurulatih sudah boleh beroperasi untuk mencari bakat-bakat baru atau memantapkan lagi kumpulan lama.
Perlu diingatkan bahawa lagu pertama yang berkaitan dengan tema adalah berirama "PADANG PASIR". Ini bermaksud , lagu ciptaan ustaz-ustazah mesti mempunyai unsur-unsur masri dan qasidah. Jika sukar untuk memikirkannya cipta sahaja lagu yang berkaitan dengan  tema dan melodi yang membantu untuk menjadikan lagu tersebut padang pasir ialah ketukan pada alatan  yang dimainkan pelajar. 

Lirik yang baik ialah lirik yang mengupas tema yang diberikan dan dikaitkan dengan muqaddimah  tentang tema, dikembangkan isi yang berkaitan dengan tema  mengikut rangkap (sosial,ICT,ilmu,ekonomi, dll) . Pada penutup lagu pula ditulis rangkap yang menjadi  kesimpulan pada lirik yang ditulis. Kiranya ustaz,ustazah seperti menulis karangan semasa mencipta lirik!

Lagu kedua pula rentak / irama moden atau kontemporari dan senarai tajuk  lagu kedua juga perlu menyentuh salah satu  tajuk  yang telah disenaraikan oleh pihak  Penganjur (BPI). Tajuk-tajuk yang berkaitan dengan mata pelajaran pendidikan islam seperti yang telah disenaraikan dalam  peraturan dan syarat Festival nasyid  yang diberikan kepada sekolah-sekolah.

Intro dan outro perlu ringkas dan afdal dimulakan dengan selawat dan salam.Permainan alat muzik perlulah seimbang.Kebanyakkan pemain alat muzik tidak dapat mengimbangi bunyi semasa di atas pentas. Muzik perlulah kemas dan bersesuai dengan lagu yang disampaikan . Jangan hanya terlalu tertumpu pada gimik alat muzik , kerana markahnya hanya menyumbang 5 markah sahaja dalam persembahan. Markah terbanyak ialah pada suara. Ianya diukur daripada kekuatan solo (markah khas) dan keharmonian penyanyi latar dalam mendendangkan lagu yang memiliki ton suara, sebutan  dan lontaran yang jelas dan seimbang antara penyanyai latar.

Gaya persembahan dikira seawal naik atas pentas dan disiplin dan etika adalah prasyarat yang akan menyumbang markah yang baik. Gaya yang bersesuai hendaklah dipamerkan dan apabila meyentuh soal gaya, pemain alat muzik juga tidak terkecuali. Antara perkara yang sering  menarik perhatian hakim persembahan  semasa pertandingan ialah mencari pemain-pemain  alat muzik yang  boleh menyanyi bersama dan bermain dengan penuh yakin (tetapi jangan over). Apa juga yang dilakukan di atas pentas nampak kebersamaannya.... Bukan kelihatan solo yang syok sendiri, pemain alat muzik yang over dan penyanyi latar yang tertoleh-toleh antara satu sama lain!

Jangan lupa untuk terus belajar daripada kumpulan-kumpulan yang terbaik dan pernah menjuarai festival nasyid ini. Jadikan penanda aras semasa latihan. Persembahan Festival Nasyid Peringkat Kebangsaan dan kebanyakkannya ada dalam YouTube.

Selamat berlatih  kepada semua! Percayalah, usaha kita yang ikhlas  membentuk anak didik  mendekati irama nasyid yang mendidik jiwa ini pasti akan memberi impak positif jika pelaksanaan dan penghayatan  kearah kebaikan  dilakukan selari dengan kehendak syariat islam.

Ustaz dan ustazah boleh menjadikan penanda aras latihan di sekolah dengan pencapaian terakhir Festival Nasyid peringkat kebangsaan 2009 sebagai rujukan dilaman ini:

http://www.youtube.com/watch?v=DOsyNdE2oWU

http://www.youtube.com/watch?v=wFaBoZM9WKI

CD Lagu Bahasa Arab KSSR

Inilah masanya untuk para Murabbi Bahasa Arab mengajar dengan penuh santai dan keriangan. Bahasa Arab bukan lagi bahasa yang digeruni anak didik dengan adanya pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang menarik dan tidak membosankan. Ustaz,ustazah boleh melayari laman web dibawah untuk promo cd yang bakal menemani dunia bahasa arab di  dalam kelas !
http://www.youtube.com/watch?v=WLL1T7BUaS0

Saturday, February 12, 2011

MTQSS 2011



Musim MTQSS sudah bermula..... semarakkan lagi kemeriahan iklim dinie disekolah dengan pertandingan-pertandingan MTQSS yang pastinya memberi pelbagai pengalaman untuk anak didik kita. Daripada pertandinganlah mereka mengasah sikap berani, yakin redha  dan sabar dalam menghadapi cabaran kehidupan. Falsafah pertandingan yang sarat dengan pelbagai tafsiran amat membantu pelajar jika para murabbi bersatu dalam melaksanakan apa jua aktiviti dakwah di sekolah.

Dapatkan borang-borang pertandingan MTQSS, Festival Nasyi dan pelbagai lagi bentuk pertandingan yang bersesuaian dilaksanakan di sekolah untuk panduan dan rujukan ustaz dan ustazah sekalian.